Kita makan apa yang kita nak makan? Atau kita makan apa yang perlu kita makan? Ini persoalan yang saya nak lontarkan hari ini. Mari kita bersidang tentang MAKAN.

Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan setiap orang. Ia bukan hanya menyediakan khasiat pemakanan, tetapi juga merupakan sebahagian penting cara kita bersosial yang mana pelbagai hidangan tidak pernah ketinggalan disajikan setiap kali kita menyambut sesuatu perayaan. Kita makan bukan sahaja untuk hidup tetapi juga untuk kegembiraan!

Walaubagaimanapun, kini kita makan lebih banyak berbanding nenek moyang kita semasa hayat mereka. Bukan sahaja diet moden mengandungi lebih banyak karbohidrat pintar yang tersembunyi dalam pelbagai bentuk, malah ia juga mengandungi lebih banyak garam, gula, lemak dan kalori. Ini bermakna badan kita memperoleh lebih banyak tenaga daripada yang diperlukan. Dan dengan kemudahan dan pelbagai makanan segera yang bersais besar, obesiti dan risiko berkaitan kesihatan semakin mencecah kadar kritikal.

Kebanyakan orang akan mengatakan bahawa bukan mereka tidak mahukan diet yang lebih baik, tetapi di sekeliling mereka pilihan makanan yang sihat semakin sukar didapati. Namun, disebalik keadaan ini bukan bermakna kita makan apa saja yang tersedia dan mudah didapati. Kita patut berusaha untuk makan dengan betul. Dengan sikap dan pengetahuan yang betul, disertai semangat yang kuat, amalan diet sihat tidak mustahil dicapai.

Satu panduan ringkas untuk mendapatkan diet yang sihat adalah dengan mengambil amaun karbohidrat yang sederhana termasuk sayur-sayuran tidak berkanji, buah-buahan, kekacang dan produk bijirin lengkap serta tinggi serat. Kita juga perlu mengambil protein yang kurang lemak seperti sedikit daging, ikan dan produk ayam itik. Mengurangkan pengambilan garam dan gula boleh mengurang risiko masalah berkaitan kesihatan. Di samping itu, senaman sederhana dan gaya hidup sihat (tidak merokok dan tidak mengambil minuman keras) akan membawa kita ke laluan yang betul untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat.

Ikrar Keyakinan Diri

Hari ni saya nak bersidang tentang tajuk di atas.

Dikutip dari pembacaan saya sedikit di sana sedikit di situ, di bawah ini saya rumuskan sifat asasi manusia tentang Keyakinan Diri.

Untuk dapat keyakinan, kena percaya kepada diri sendiri, faham memahami sesama manusia, tidak merasa rendah diri, berjiwa kreatif dan bersemangat tinggi. Kita perlu menginsafi siapa diri kita dan sentiasa mahu berubah ke arah POSITIF.

Kita mesti yakin bahawa, jika kita kurang cekap dan jika kita sanggup berusaha mencari kecekapan, kita pasti boleh menjadi cekap.

Kita mesti tahu apa yang negatif dan apa yang positif dalam diri kita. Kemudian kita berusaha untuk berubah, dengan berbekalkan satu keyakinan.

Berusahalah memperbaiki diri. Ia memerlukan masa sepanjang hayat. Bermulaha dari SEKARANG juga.

Apabila kita sudah berusaha untuk berubah, maka berikrarlah dengan penuh yakin akan Ikrar Keyakinan Diri seperti diperturunkan di bawah:

1. Aku yakin Tuhan akan membantu dalam usahaku andainya aku memberikan tumpuan sepenuhnya.

2. Aku yakin pada ibadah dan tidak akan tidur sebelum beribadah untuk mendapat taufik dan hidayah hingga ke akhirnya, dan aku akan bersabar dengan manusia lain dan sentiasa bertolak ansur dengan mereka.

3. Aku yakin kejayaanku nanti adalah anugerah atas kewibawaan usahaku dan tidak hanya bergantung kepada takdir, jauh sekali tipu muslihat atau hasad dengki.

4. Aku tidak bermusuhan dan tidak akan berdendam dengan mereka yang tidak sependapat denganku kerana aku yakin satu hari nanti kebenaran akan terserlah jua.

5. Aku akan memaafkan mereka yang menyinggung perasaanku kerana aku sedar bahawa aku juga, dari masa ke semasa, tanpa niat, mungkin akan menyinggung perasaan mereka juga dan aku memerlukan kemaafan dari mereka.

Hari ni Hari Guru.

Kerana Hari Guru, saya kembali bersidang, walaupun masih sibuk dengan kerja-kerja menaiktaraf blog ini. Lagipun hari Jumaat dan Sabtu memang hari yang sibuk buat saya.

Kepada semua yang bergelar 'Cikgu' dan yang seangkatan dengannya, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" buat kalian semua. Tidak lupa juga kepada mantan guru (guru pencen la tu) Sesungguhnya 'cikgu' bukan hanya satu kerjaya, tetapi ia adalah satu institusi.

Kawan saya pernah bermadah: "Kalau hang nak kerja cikgu, lebih baik hang fikir dulu; tapi kalau hang nak jadi cikgu, mai bersama-sama kita memartabatkan gelaran itu hingga ke hujung dunia"

Di bawah ini saya petik artikel dari Harian Metro hari ini, untuk bahan persidangan kita kali ini:

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.

Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak terpisah daripada seseorang guru.

Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan. Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Istilah yang diberikan cendekiawan Islam, iaitu guru atau pendidik dikenali sebagai murabbi, mualim, mu’addib, atau ulama, sekali gus menggambarkan betapa tinggi martabat guru dalam kehidupan sejak zaman berzaman.

Sebagai anak murid kepada seorang guru kita mestilah menghormatinya, mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan mereka.

Guru sebenarnya tidak mengharapkan balasan, pujian atau penghormatan masyarakat dan ini tidak bermakna mereka tidak boleh menerima ganjaran daripada usaha mendidik anak bangsa.

Tetapi kemuncak matlamat kerjaya perguruan tidak boleh diukur dengan pencapaian kebendaan semata-mata.

Setiap guru mestilah mempunyai sifat ketulusan hati, ikhlas bekerja, lemah lembut, menjaga kehormatan diri dan merasai dirinya sebagai ibu dan bapa.

Pelajar atau remaja akan berasa terdidik dan mencontohi tingkah laku guru mereka. Layanan guru akan menimbulkan rasa sayang dan hormat pelajar kepada guru. Hal ini akan memudahkan guru memberi didikan dan bimbingan.

Mereka perlu mengetahui hak guru iaitu tidak lupa keutamaan, menjaga kehormatan, tidak mengumpat, tidak marah kepadanya.

Doakanlah guru sepanjang hidupnya. Jika mereka meninggal dunia, anak murid wajar menziarahi dan memohon maaf serta bersedekah atas namanya.

Imam al-Ghazali berkata kewajipan dan tanggungjawab guru terhadap pelajar mestilah mempunyai belas kasihan dan menganggap mereka anak sendiri dengan memberikan pendidikan sewajarnya.

Sementara Hamka menjelaskan adab kepada guru. Menurutnya, seorang murid hendaklah mengakui kelebihan guru dan menghormatinya kerana guru lebih utama daripada ibu dan bapa dari segi jasanya.

Ibu bapa mengasuh anak sejak dilahirkan, tetapi guru mendidik jiwa.

Menurutnya, guru mengaji, guru sekolah atau guru yang hanya sekali ditemui tetapi mendapat pelajaran daripadanya, tidak dapat dibalas jasa mereka dengan harta benda.

Hari ini saya nak beritakan hal yang berlaku kelmarin. Begitulah adatnya dalam pemberitaan; tentulah diberitakan hal yang telah berlaku. Kelmarin (semalam) sebahagian kita menyambut Hari Ibu. Sebahagian lagi mungkin menyambut hari ibu setiap hari.

Sedang saya mengunyah nasi, isteri berkata, "Bang, ada special mesej dari Kak Yah" "Mesej apa?" tanyaku. Kak Yah ialah kenalan kami yang paling akrab masa bermastautin di Ipoh 1989-2005 dulu. "Bacalah", ujar isteriku, yang juga anak menakan Pak Ngah Leewantam. "Tak pa, sat gi sudah makan, abang baca", jawabku. Lalu saya pun meneruskan makan hingga habis. Sederhana saja masakan isteriku tengahari kelmarin.

Sebaik habis makan, saya membaca mesej Kak Yah. Mesejnya berbunyi begini:

"Kita ada ibu negeri tp x de bapa negeri, kita ada ibu jari tp x de bapa jari, kita ada ibu pejabat tp x de bapa pejabat, kita ada ibu sawat tp x de bapa sawat, kita ada ibu roti tp kita x de bapa roti, betapa pentingnya seorang ibu, selamat hari ibu...2009"

Itu mesej dari seorang ibu kepada seorang ibu. Kak Yah ibu kepada 4 orang anak kandung dan 2 orang anak angkat. Baru cuti sekolah bulan Mac dulu dia mendapat menantu sulung. Sementara isteriku ibu kepada 4 orang anak-anak kami.

Ini komen saya kepada isteri:

Ya tak ya juga. Dalam bahasa Melayu, amat mementingkan ibu. Tapi cuba kita kaji perkataan "ibu bapa". Kalau tak ada bapa, apa mungkin seorang ibu akan menjadi "ibu"? Lalu, saya analogikan begini: Bagi ibu begeri, bapa negerinya adalah negeri itu, bagi ibu jari, bapa jari ialah tangan yang terletaknya ibu jari itu, bagi ibu pejabat, bapa pejabatnya ialah syarikat yang menubuhkan ibu pejabat itu, manakala bagi ibu sawat, bapa sawat ialah bangunan yang menempatkan ibu sawat itu dan bagi ibu roti, bapa rotinya ialah tepung yang menjadi roti itu.

Dengan kronologi, kalau tiada bapa, tidaklah menjadi 'ibu' seseorang perempuan itu, maka kalau tiada negeri, masakan ada ibu negeri, kalau tiada tangan, mana mungkin akan ada ibu jari, kalau tiada syarikat, mana mungkin ada ibu pejabat?

Lalu, apa kata kalian? Mari kita bersidang dalam suasana mesra aman damai di sini.

Hari ini semasa menyemak helaian-helaian buku yang baru dibeli, saya terpandang ungkapan seperti di atas. Dua tiga kali juga saya terpaksa ulang baca, tu pun tak tentu lagi apa yang saya faham tu, adalah yang dimaksudkan.

Justeru, hari ini saya nak ajak kita bersidang tentang tajuk di atas.

Pada pemahaman saya, membetulkan yang biasa tu, maksudnya sudah jadi biasa dalam percakapan atau penulisan, kita membuat salah dari segi gramatis. Tetapi kerana ia sudah biasa, maka seolah-olah sudah diterima pakai sebagai yang betul.

Contoh: Goreng pisang. Kenapa hanya kepada pisang sahaja kita namakan ia Goreng Pisang? Kebiasaan? Kenapa kita tak kata Goreng ayam? Kalau kita anggap goreng pisang itu betul, lalu, adakah Sepak bola juga betul? Tetapi, bolehkah kita pergi ke restoran dan pesan Goreng nasi? Hakikatnya kita tidak pernah makan Goreng nasi, tetapi kita makan Nasi goreng. Kita cuma biasa makan goreng pisang, bukan goreng ayam atau goreng nasi.

Di sinilah mungkin yang perlu dibetulkan. Marilah mulai hari ini kita makan Pisang goreng yang rangup yang dijual oleh Pak Hasan di Taman Cempaka.

Apabila kita sudah membetulkan yang biasa, adakah kita mampu untuk membiasakan yang betul itu pula? Yang betul ialah pisang goreng. Tetapi bila hendak beli, kita akan sebut pisang goreng atau goreng pisang?

Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk terus bersidang.

Mari Bersidang

Di mana hendak bersidang hari ini?

Jangan kita bersidang di DUN, ada banyak gangguan. Kalau bersidang di bawah pokok pula, tak membawa kesan apa-apa.

Saya nak membawa pembaca bersidang di classroom maya. Saya nak jadikan blog ini 'above politics' yang sebenar-benarnya. Sidang yang nak saya bawa ni bukan sidang politik. Ini sidang berkaitan pendidikan.

Lalu, apa-apa saja usul tentang pendidikan, akan saya terima. Apa saja teori pendidikan, akan saya buka untuk semua pembaca bersidang.



Copyright 2009 | Sidang CheNasser adalah hasil penulisan dari SheNasser dan diuruskan oleh Fitrinas.