Berguru Dahulu Sebelum Bergurau

Hari ni Hari Guru.

Kerana Hari Guru, saya kembali bersidang, walaupun masih sibuk dengan kerja-kerja menaiktaraf blog ini. Lagipun hari Jumaat dan Sabtu memang hari yang sibuk buat saya.

Kepada semua yang bergelar 'Cikgu' dan yang seangkatan dengannya, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" buat kalian semua. Tidak lupa juga kepada mantan guru (guru pencen la tu) Sesungguhnya 'cikgu' bukan hanya satu kerjaya, tetapi ia adalah satu institusi.

Kawan saya pernah bermadah: "Kalau hang nak kerja cikgu, lebih baik hang fikir dulu; tapi kalau hang nak jadi cikgu, mai bersama-sama kita memartabatkan gelaran itu hingga ke hujung dunia"

Di bawah ini saya petik artikel dari Harian Metro hari ini, untuk bahan persidangan kita kali ini:

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.

Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak terpisah daripada seseorang guru.

Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan. Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Istilah yang diberikan cendekiawan Islam, iaitu guru atau pendidik dikenali sebagai murabbi, mualim, mu’addib, atau ulama, sekali gus menggambarkan betapa tinggi martabat guru dalam kehidupan sejak zaman berzaman.

Sebagai anak murid kepada seorang guru kita mestilah menghormatinya, mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan mereka.

Guru sebenarnya tidak mengharapkan balasan, pujian atau penghormatan masyarakat dan ini tidak bermakna mereka tidak boleh menerima ganjaran daripada usaha mendidik anak bangsa.

Tetapi kemuncak matlamat kerjaya perguruan tidak boleh diukur dengan pencapaian kebendaan semata-mata.

Setiap guru mestilah mempunyai sifat ketulusan hati, ikhlas bekerja, lemah lembut, menjaga kehormatan diri dan merasai dirinya sebagai ibu dan bapa.

Pelajar atau remaja akan berasa terdidik dan mencontohi tingkah laku guru mereka. Layanan guru akan menimbulkan rasa sayang dan hormat pelajar kepada guru. Hal ini akan memudahkan guru memberi didikan dan bimbingan.

Mereka perlu mengetahui hak guru iaitu tidak lupa keutamaan, menjaga kehormatan, tidak mengumpat, tidak marah kepadanya.

Doakanlah guru sepanjang hidupnya. Jika mereka meninggal dunia, anak murid wajar menziarahi dan memohon maaf serta bersedekah atas namanya.

Imam al-Ghazali berkata kewajipan dan tanggungjawab guru terhadap pelajar mestilah mempunyai belas kasihan dan menganggap mereka anak sendiri dengan memberikan pendidikan sewajarnya.

Sementara Hamka menjelaskan adab kepada guru. Menurutnya, seorang murid hendaklah mengakui kelebihan guru dan menghormatinya kerana guru lebih utama daripada ibu dan bapa dari segi jasanya.

Ibu bapa mengasuh anak sejak dilahirkan, tetapi guru mendidik jiwa.

Menurutnya, guru mengaji, guru sekolah atau guru yang hanya sekali ditemui tetapi mendapat pelajaran daripadanya, tidak dapat dibalas jasa mereka dengan harta benda.

0 Comments:

Post a Comment





Copyright 2009 | Sidang CheNasser adalah hasil penulisan dari SheNasser dan diuruskan oleh Fitrinas.