Kita Adalah Apa Yang Kita Makan

Kita makan apa yang kita nak makan? Atau kita makan apa yang perlu kita makan? Ini persoalan yang saya nak lontarkan hari ini. Mari kita bersidang tentang MAKAN.

Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan setiap orang. Ia bukan hanya menyediakan khasiat pemakanan, tetapi juga merupakan sebahagian penting cara kita bersosial yang mana pelbagai hidangan tidak pernah ketinggalan disajikan setiap kali kita menyambut sesuatu perayaan. Kita makan bukan sahaja untuk hidup tetapi juga untuk kegembiraan!

Walaubagaimanapun, kini kita makan lebih banyak berbanding nenek moyang kita semasa hayat mereka. Bukan sahaja diet moden mengandungi lebih banyak karbohidrat pintar yang tersembunyi dalam pelbagai bentuk, malah ia juga mengandungi lebih banyak garam, gula, lemak dan kalori. Ini bermakna badan kita memperoleh lebih banyak tenaga daripada yang diperlukan. Dan dengan kemudahan dan pelbagai makanan segera yang bersais besar, obesiti dan risiko berkaitan kesihatan semakin mencecah kadar kritikal.

Kebanyakan orang akan mengatakan bahawa bukan mereka tidak mahukan diet yang lebih baik, tetapi di sekeliling mereka pilihan makanan yang sihat semakin sukar didapati. Namun, disebalik keadaan ini bukan bermakna kita makan apa saja yang tersedia dan mudah didapati. Kita patut berusaha untuk makan dengan betul. Dengan sikap dan pengetahuan yang betul, disertai semangat yang kuat, amalan diet sihat tidak mustahil dicapai.

Satu panduan ringkas untuk mendapatkan diet yang sihat adalah dengan mengambil amaun karbohidrat yang sederhana termasuk sayur-sayuran tidak berkanji, buah-buahan, kekacang dan produk bijirin lengkap serta tinggi serat. Kita juga perlu mengambil protein yang kurang lemak seperti sedikit daging, ikan dan produk ayam itik. Mengurangkan pengambilan garam dan gula boleh mengurang risiko masalah berkaitan kesihatan. Di samping itu, senaman sederhana dan gaya hidup sihat (tidak merokok dan tidak mengambil minuman keras) akan membawa kita ke laluan yang betul untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat.

0 Comments:

Post a Comment





Copyright 2009 | Sidang CheNasser adalah hasil penulisan dari SheNasser dan diuruskan oleh Fitrinas.